‘MIMBAR QASEH’ merupakan misi pendidikan di luar negara untuk masyarakat Melayu Islam.

‘MIMBAR’ bermaksud : ‘Melayu Islam Memperkasakan Bahasa, Agama & Resam’. Ini merupakan sebuah program yang dikendalikan oleh Majma’ Budaya dan Warisan Jawi dengan kerjasama WarisAlam. Sebuah program untuk pengajian Agama, Budaya dan Bahasa Melayu ke sekolah-sekolah rakyat Melayu Islam di negara luar agar budaya dan bahasa Melayu khususnya kembali mekar. Bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan bangsa Melayu walaupun di mana sahaja.

‘Qaseh’ merupakan tabung dana yang dikendalikan oleh WarisAlam untuk mendapat sumbangan dana dari pelbagai pihak demi untuk menjayakan program MIMBAR.
Waris Alam dengan kerjasama Majma’ Budaya & Warisan Jawi  berusaha bekerjasama dengan pelbagai pihak yang sanggup merealisasikan penubuhan sekolah-sekolah yang baik tadbirnya di luar Malaysia untuk masyarakat Melayu yang tidak berpeluang mendapat pendidikan yang sempurna dalam pengajian Islam dan pengajian Melayu. Waris Alam berusaha menyusun sukatan pelajaran yang terbaik bagi pengajian ini agar generasi mendatang dari masyarakat ini kekal dalam ketuanan Melayu, berbahasa Melayu dan tulisan jawi kekal sebagai tulisan rasmi bangsa Melayu.

“Ilmu itu pelita hidup”
Waris Alam dan Majma’ Budaya & Warisan Jawi  sedang berusaha menjayakan misi pendidikan ini di luar negara atas nama program ‘MIMBAR QASEH’. Moga-moga dengan usaha ini masyarakat Melayu Islam yang hidup dalam serba kekurangan dapat menikmati kesejahteraan sama seperti kita di Malaysia. Kandungan dalam program ‘MIMBAR QASEH’ meliputi pengajian Agama Islam, Pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah Melayu, Tulisan Jawi dan Aktiviti Budaya seperti Kompang, Seni Silat dan lainnya yang dapat mengembalikan semangat berbudaya Melayu dalam masyarakat Melayu di luar sempadan Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ‘MIMBAR QASEH, sila layari http://mimbarqaseh.blogspot.com/