Jejak Warisan Jawi (JWJ) adalah sebuah program yang berbentuk pengkajian sejarah dan budaya melalui pengembaraan oleh sekumpulan anak Melayu untuk cuba membongkar dan menggali kembali sejarah kewujudan dan ketamadunan bangsa Melayu yang tenggelam oleh zaman.

Hasilnya, JWJ cuba membawa pandangan dan perhatian masyarakat ke arah mengimbau kembali sejarah ketamadunan bangsa Melayu seterusnya mengembalikan jati diri bangsa.

WarisAlam bersama beberapa jabatan kerajaan, badan berkanun,pihak universiti dan badan-badan korporat telah terlibat secara langsung dalam menjejak warisan dan silaturrahim di seluruh Tanah Nusantara.

Sinopsis

Kewujudan kelompok rumpun Melayu ini telah dikatakan wujud sejak lebih dari 40,000 tahun lalu seperti yang didedahkan oleh Ketua Penyelidik Arkeologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman berdasarkan data arkeologi yang diperolehi di Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Bahkan penghijrahan yang dikatakan berlaku dari Tanah Besar di Utara juga boleh dipertikaikan seperti yang telah didedahkan oleh Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin hasil penyelidikan ke atas mt DNA manusia dimana hasil kajian membuktikan bahawa bangsa Melayu dari ukuran umur kewujudan mereka adalah jauh lebih lama daripada bangsa Cina dan India. Hasil dari kajian ini telah meyakinkan teori yang mengatakan bahawa manusia di dataran Sunda lah yang sebenarnya telah merentas ke benua-benua lain.

Kewujudan kerajaan Melayu lama seperti Funan,Kedah Tua,Langkasuka,Campa dan Sriwijaya adalah dari bukti kewujudan kerajaan ini hasil dari peninggalan monumen sejarah atau kewujudan negara kota-negara kota Melayu (Malay City-states), prasasti/batu bersurat dan hubungan antarabangsa.

JEJAK adalah satu usaha untuk mengkaji dan menyelidik melalui pemerhatian tentang cara hidup, adat resam, budaya, amalan beragama serta pengamalan kesemuanya ke dalam kehidupan seharian mereka.

WARISAN adalah peninggalan atau pusaka dari sesebuah tamadun, masyarakat atau orang  yang terdahulu. Justeru, mengkaji dan mengenali warisan bererti mengenali juga apa yang di tinggalkan untuk di ambil teladan dan sebagai panduan.

JAWI yang dimaksudkan di sini adalah menjurus kepada bangsa Melayu yang beragama Islam, mengamalkan cara hidup, budaya dan adat resam yang tidak lari dari pegangan agama anutannya iaitu agama Islam. Persamaan dari segi pengamalan cara hidup beragama, adat resam dan budaya adalah elemen-elemen yang perlu diambil penting.

Maklumat lanjut di laman JWJ.

jwj